Segala puji-pujian ditujukan kepadaNya yang telah memberi peluang dan pengalaman yang tidak ternilai kepada empunya diri sejak 23 Oktober yang lalu selama sebulan setengah menjalani "latihan mengenali dan menginsafi diri". Menjejakkan kaki di bumi Malaysia pada 7 Disember yang lalu dan kini menyambung semula tugas yang diamanahkan.
Mula menerima surat jemputan sekitar bulan Mac yang lalu, walaubagaimanapun kepastian hanya diketahui dalam lebih kurang 3 minggu sebelum bertolak. Pelbagai pergolakan jiwa yang berlaku sebelum itu kerana tidak menyangka akan dipanggil menjadi tetamuNya dalam keadaan ketiadaan mahram sewaktu mendaftar serta persediaan diri yang agak kurang. Walaubagaimanapun, apabila dinamakan ketentuan, segalanya pasti tetap berlaku.
Kami dikumpulkan di Kelana Jaya bagi urusan imigresen dan sebagainya. Siapa sangka dalam ramai-ramai ini ada juga rakan RA di kalangan ahli keluarga yang menghantar yang mengenali empunya diri ;) Kebetulan 9M2PRO juga menghantar ibunda beliau dalam penerbangan yang sama.
Bertolak dari KLIA pada awal pagi, tetapi tibanya juga pada awal pagi walaupun perjalanan mengambil masa 8 jam. Seminggu yang pertama empunya diri diberi peluang berada di Madinah. Rasa bagaikan bermimpi, apabila menjejakkan kaki kali pertama. Kami ditempatkan di Hotel - hotel berdekatan dengan Masjid Nabawi yang tersergam indah yang mempunyai sejarahnya yang tersendiri.
Awal-awal lagi empunya diri sudah diberi ujian.... ujian SABAR.... yang sudah diketahui akan sentiasa dialami di mana-mana di sepanjang masa. Inilah sebahagian dari intipati latihan yang perlu dilalui oleh setiap individu.
QEX: The January/February 2010 Issue
49 minutes ago

